Monday, February 16, 2015

Murabbi yang ku kejar itu

Innalillahi wainna ilaihi rojiun

12 Februari 2015

Tidak sedikit air mata bercucuran kerana mengenangkan pemergian Murabbi ummah beberapa hari yang lalu. Beliau adalah Al-Marhum Tuan Guru Dato' Bentara Setia Nik Abdul Aziz bin Nik Mat. Ditambah lagi dengan cerita-cerita rakan-rakan FB yang pernah secara lansung atau tidak lansung bersua muka dan bersilaturrahim dengan Tuan Guru sebelum daripada ini. Saya sendiri sangat sayu mengenangkan Tuan Guru yang bukan sahaja seorang murabbi ummah, malahan saya sebagai ahli PAS sangat terkesan dengan beliau sebagai pemimpin kami, Mursyidul Am PAS.

Saya kira ramai yang sudah mengetahui apa keistimewaan Masjid Pulau Melaka dan Bandaraya Kota Bharu pada setiap hari Jumaat. Tidak lengkap rasanya jika orang luar daripada Kelantan yang menziarahi Kelantan pada setiap hari Jumaat tanpa bersolat subuh berjemaah di Masjid Pulau Melaka berimamkan Tuan Guru sendiri, dan menghadiri majlis ilmu di Kota Bharu, yang salah seorang tenaga pengajarnya ialah Tuan Guru.

Masjid Pulau Melaka.
Kredit kepada http://teropongmasa.blogspot.com/2012/12/masjid-pulau-melaka-masjid-tok-guru.html

Pada tahun 2009 saya pernah ke Masjid Pulau Melaka yang bersebelahan dengan rumah Tuan Guru. Pada waktu tersebut saya berpraktikal di salah sebuah syarikat minyak dan gas di Kerteh, Terengganu. Saya dan beberapa rakan saya membuat perancangan untuk pergi ke Kelantan dengan maksud ingin menziarahi Negeri Serambi Mekah, berjumpa Menteri Besar pada waktu tersebut, iaitu Tuan Guru sendiri, dan menghadiri majlis ilmu di tengah-tengah Bandaraya Kota Bharu, Medan Ilmu.

Kami bertolak ke Kelantan daripada rumah sewa kami di Paka, Terengganu lebih kurang waktu tengah malam. Alhamdulillah perjalanan sangat lancar. Kami terus menghala ke Masjid Pulau Melaka dan sampai disana pada kira-kira jam 4 pagi. kami mengambil kesempatan untuk membersihkan diri dan bersiap-siap untuk solat tahajud dan kemudiannya solat subuh.

Sejurus selepas azan berkumandang, saya terus melaksanakan solat sunat subuh dan kemudian setia menanti susuk tubuh yang sebelum ini hanya dilihat di media massa sahaja. Saya menunggu sehingga iqamat dilaungkan, semua jemaah mengambil saf masing dan kerana ramainya jemaah pada waktu itu saya tidak berkesempatan untuk berada di saf depan. Ibaratnya jika di tempat saya itu, ramai seperti solat Jumaat.

Saya masih tidak nampak kelibat Tuan Guru untuk memimpin solat tersebut, tetapi tiba-tiba saya mendengar takbir dilaungkan, dan ianya adalah suara Tuan Guru yang saya kenali melalui mp3 ceramah-ceramah beliau yang saya pernah dengar sebelum ini. Saya terus melaksanakan solat subuh berimamkan Tuan Guru. Alhamdulillah, tercapai hasrat untuk bersolat bersama Tuan Guru.

Usai solat jemaah, Tuan Guru memberi sedikit kuliah, tetapi tidak lama, kerana saya melihat Tuan Guru tidak berapa sihat dan ada seorang jemaah di belakang Tuan Guru yang membantu mengurut-urut belakang Tuan Guru. Selepas itu Tuan Guru pun masuk ke dalam bilik di sebelah kanan mihrab masjid, disusuli dengan ramai jemaah yang membawa bayi kecil untuk ditahnikkan oleh Tuan Guru. Alhamdulillah dapat juga saya melihat sendiri bagaimana Tuan Guru mentahnik bayi.

Saya mendapat tahu Tuan Guru mempunyai urusan lain lagi selepas itu, maka Tuan Guru tidak dapat lama bersama jemaah masjid pagi itu dan perlu segera masuk ke rumah dan bersiap. Walaupun saya dan rakan-rakan sedikit rasa kecewa kerana tidak dapat bertemu secara berdepan dengan Tuan Guru, namun kami memahami bahawa Tuan Guru masih Menteri Besar Kelantan.

Habis menunaikan solat dhuha, saya dan rakan-rakan pergi ke bahagian hadapan rumah Tuan Guru yang hanya beberapa langkah sahaja daripada pintu masuk ruang bilik Imam di bahagian hadapan kanan masjid. Kami mengambil kesempatan mengambil gambar dihadapan rumah Tuan Guru. Malangnya semua gambar yang saya ambil ketika itu sudah tiada dalam simpanan saya.

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar.

Tenanglah dikau wahai murabbi ummah di alam sana.


Wednesday, February 11, 2015

Tulis vs. Fikir

InsyaAllah saya akan mula menulis kembali di medan blog ini setelah sekian lama tiada khabar berita. Saya masih tidak tahu di mana mahu bermula dan dalam perkara apa penumpuan penulisan saya kelak.

Tetapi saya percaya penulisan adalah sebahagian daripada kaedah menimba ilmu. Paling kurang saya akan mula menulis tentang buku-buku, atau apa-apa ilmu dan pengetahuan yang saya baru baca dan belajar dari masa ke masa. InsyaAllah.

Menulis menjadikan otak kita berjalan dan berfungsi dengan sepatutnya. Tidaklah dengan tidak menulis menjadikan otak tiada gunanya. Tetapi dengan menulis kita akan menggunakan otak kita untuk mencari, memilih, dan mencantumkan perkataan demi perkataan agar ianya menjadi bagus dari segi susunan bahasanya.

Berbeza jika kita menulis di FB dan tweeter, menulis secara intensif di blog, atau medan yang seumpama dengannya menjadikan kita lebih berhati-hati dalam penggunaan perkataan dan ayat-ayat yang dipilih. Apa yang kita tulis akan menggambarkan bagaimana otak kita berfungsi. Jika caca merba penulisan, maka kita boleh agak bagaimana pemikiran seseorang itu.

Untuk saya pula, saya akan teruskan menulis untuk memperbaiki cara saya berfikir.

Menulis untuk berfikir?

Salah sebuah sungai di Lawas, Sarawak - sekadar gambar hiasan.

Ya. Begini kefahaman saya.

Jika mahukan penulisan yang baik, ia memerlukan kerjasama yang baik daripada otak. Jika mahukan kerjasama yang baik, proses yang berlaku di dalam otak itu perlulah juga baik. Proses itulah yang dinamakan pemikiran kita. Di situlah saya kaitkan antara menulis dan berfikir.

Sampai jumpa lagi.

Monday, December 8, 2014

Membaca perlu di rancang

Membaca adalah satu kemahiran yang penting untuk membuat seseorang itu menambah pengetahuan dan ilmu.

Justeru membaca perlu di rancang.

Saturday, November 26, 2011

Universiti Malaya dan Pendidikan Sekular?

Ada apa dengan Universiti Malaya?


Universiti Malaya

12 November 2011

Pada tarikh di atas, saya telah mendaftar sebagai seorang pelajar bagi kursus Sijil Pengajian Syariah di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (APIUM). Kursus di peringkat sijil ini dikendalikan oleh UMCCED, Universiti of Malaya Centre for Continuing Education. Ada beberapa kursus Pengajian Islam di peringkat sijil yang ditawarkan oleh UMCCED, di antaranya bidang Syariah, Usuluddin, Bahasa arab, dan Kewangan Islam. Untuk maklumat lanjut, boleh rujuk http://www.umcced.edu.my/.



Bangunan dan Logo Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya



Kenapa saya memilih untuk mengambil kursus ini?

Saya di kalangan ramai graduan Malaysia yang lahir daripada generasi sistem pendidikan yang sekular di Malaysia. Apabila dikatakan sekular, ia bermaksud memisahkan agama daripada bidang-bidang tertentu. Sebagai contoh jika dikatakan negara yang sekular, ia bermaksud memisahkan agama dengan urusan pentadbiran negara atau politik. Begitulah perihalnya dengan sistem pendidikan negara. Sesiapa yang melalui sendiri perjalanan sistem pendidikan di Malaysia, tidak akan menyanggahi fakta ini. Masakan tidak, seseorang yang memilih untuk masuk ke bahagian teknikal seperti Kejuruteraan, seperti saya, tidak akan berpeluang untuk mendalami ilmu agama secara intensif, kerana sudah dipisahkan dengan sistem sekolah kebangsaan, sekolah agama, dan sekolah-sekolah yang lain. Melainkan dicari sendiri di masjid-masjid, surau-surau, atau mana-mana sekolah-sekolah pondok yang menawarkan pengajian daurah atau pengajian islam samada dengan berkitab atau bertalaqqi pada waktu-waktu cuti sekolah atau cuti semester semasa di universiti.

Saya tidak berpeluang seperti sahabat-sahabat saya sekarang yang sebelum ini belajar di Mesir, Madinah, Yaman, Syria, dan negara-negara Timur Tengah yang lain untuk mendalami ilmu agama. Ataupun belajar di dalam negara sendiri seperti di UIA, UM, UPM, di dalam bidang-bidang Pengajian Islam.

Saya pula memilih untuk duduk dalam bidang kejuruteraan, tetapi adakah ia suatu kesalahan?

Sudah tentu tidak.

Ia hanyalah perjalanan hidup saya yang diatur oleh Allah, yang dipilih oleh saya sehingga apa yang ada pada saya sekarang.

Oleh yang demikian, perjalanan itu perlu disambung, dan persoalannya, bagaimana saya ingin menyambungnya?

Maka sifirnya jadi mudah, saya ada ruang, peluang, kaedah yang baik di APIUM ini, dan saya memilih untuk menyambung perjalanan hidup saya dengan mengambil kursus ini untuk mengambil peluang belajar agama secara tersusun dengan bersilibus. titik.

Sudah tentu, ini adalah perjalanan hidup saya, ia bukan suatu fatwa agama ataupun suatu hukum bahawa kita perlu mengambil kelas agama seperti di UM ini, untuk menyambung perjalanan hidup kita.

Ia adalah pilihan saya.

Bagi anda, anda yang tentukan.

....................................

Kisah Sistem Pendidikan Sekular di Malaysia
Sekolah Menengah Kebangsaan Hillcrest


Sewaktu saya belajar di S.M.K. Hillcrest, Tmn Sri Gombak, di tingkatan satu dan dua sekolah tersebut, ia berjalan pada sesi sebelah petang. Maka pelajar tingkatan satu dan dua akan bertembung dengan waktu solat zohor dan asar pada sesi pembelajaran mereka.

Semasa saya di tingkatan satu, tiada lansung apa-apa usaha dilakukan supaya pelajar akan, atau boleh untuk melakukan solat zohor. Solat zohor hanya akan dilaksanakan oleh pelajar pada waktu rehat yang hanya 20 minit itu pada pukul 3 petang. Itupun jika mereka mahu solat. Untuk solat asar pula, kebanyakannya akan solat di rumah selepas selesai sesi persekolahan, iaitu selepas jam 6.40 petang. Jadi bagaimana pelajar hendak dididik supaya solat?

Alhamdulillah pada tingkatan dua baru ada satu sistem diwujudkan untuk pelajar bersolat secara bergilir diantara satu kelas, ke kelas yg lain. Itupun setelah ditukar tampuk pemerintahan sekolah daripada pemerintah yang tidak menitik beratkan soal solat, kepada yang lebih baik. Maka apabila ditukar lagi tampuk pemerintahan, tidak pasti bagaimana perkara ini akan berlanjutan.

Kerana apa?

Kerana sistem yang melingkari mereka yang berkuasa mereka itu tidak mesra Islam. Penambahbaikan yg terjadi hanya berlaku apabila orang yang berkuasa itu menitikberatkan soal agama dan solat. Maka kita perlu memastikan sistem itu bertukar supaya menjadi lebih mesra Islam.

Bagaimana caranya?

Saya rasa anda sendiri sudah tahu caranya bagaimana untuk menukarnya apa yang perlu ditukar;)


Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur


Alhamdulillah, selepas PMR, saya berpeluang melanjutkan pelajaran di SMT Kuala Lumpur, ataupun ramai yang memanggilnya dengan panggilan TIKL (Technical Institute of Kuala Lumpur). Sekolah ini sangat popular dengan kes pelajar junior yang mati sewaktu era DS Anuar Ibrahim memegang jawatan Menteri Pendidikan dahulu.

Di sekolah ini, saya dipaksa untuk memahami bahawa Islam itu hanya eksklusif untuk golongan-golongan tertentu, dan juga dakwah Islam itu hanya untuk golongan-golongan tertentu juga.

Nauzubillah.

Sudah tentu pemikiran sebegini sudah saya tinggalkan sekitar 6 tahun yang lalu. Masakan Islam hanya eksklusif untuk orang-orang tertentu, justeru bagaimana dengan golongan-golongan artis, penggiat-penggiat seni, doktor, jurutera, dan yang selain daripada ustaz -ustazah?

Bagaimana saya boleh jadi begitu dengan memahami Islam Eksklusif suatu ketika dahulu?

Mudah sahaja.

Program-program agama ketika itu hanya untuk 'budak-budak baik' di TIKL, iaitu PPI (Persatuan Pelajar Islam). Iya, saya merupakan salah seorang ajk PPI ketika itu. Tiada mentor, guru, agamawan, pendidik, yang mengajak supaya menjadikan Islam itu lebih universal. Wallahua'alam.

Tetapi saya dengar untuk pelajar-pelajar TIKL pada waktu ini lebih baik daripada kami dahulu, Alhamdulillah.

Islam itu universal bro, bukan untuk ustaz-ustazah sahaja.

Alhamdulillah, suasana asrama di sana mengajar supaya semua pelajar solat berjemaah di surau, hatta satu peraturan diwujudkan supaya sodom (solat dalam dorm) diharamkan. Hendak solat, solat di surau bro.


Kolej Matrikulasi Kedah.

Usai SPM, saya melanjutkan pula pelajaran di Kolej Matrikulasi Kedah (KMK).

Kisah KMK.

Sewaktu saya belajar di Kolej Matrikulasi, pada tahun 2005, semua pelajar diwajibkan untuk mengambil dua subjek yang boleh dipilih diantara satunya untuk diambil pada mana-mana dua semester matrikulasi. subjek tersebut ialah Pengajian Islam, dan Sains Informatik. Bermaksud, jika saya mengambil Pengajian Islam pada semester pertama, maka semester kedua saya hanya perlu ambil Sains Informatik. Begitulah malangnya nasib subjek Pengajian Islam ini, sehingga hanya perlu dipilih-pilih.

Golongan gadis-gadis yang tidak bertudung (free hair) pula akan memakai tudung atau selendang untuk menutupi kepala sewaktu kelas Pengajian Islam tersebut sahaja. Habis sahaja kelas, sebelum masuk ke kelas seterusnya, mereka singgah dahulu di bilik air untuk menanggalkan tudung, dan masuk ke kelas seperti tiada apa-apa.

Lebih malang lagi, di dalam buku peraturan kolej yang dikeluarkan oleh pihak kolej untuk etika berpakaian pelajar-pelajar kolej, dengan secara jelas disebutkan, "pelajar tidak diwajibkan bertudung".

Iya, saya boleh memahami, bukanlah maksud ditulis "tidak diwajibkan" dengan maksud hendak melanggar perintah Allah supaya tidak menutup aurat, tetapi dengan maksud pihak kolej tiada kuasa mahu memaksa setiap pelajar-pelajar wanita muslim untuk memakai tudung, nanti disaman pula oleh ibu bapa pelajar wanita tersebut. Walaubagaimanapun, ia tetap suatu yang malang bagi Agama Islam itu sendiri.

................................................................


Sijil Pengajiah Syariah

Saya memilih untuk mengambil kursus Sijil Pengajian Syariah bukanlah bermaksud untuk menjadi Ulama, Ustaz, atau yang setaraf dengannya. Tetapi,  memilih untuk menjadi orang beragama, mahu beragama, dan mampu beragama, dengan lebih baik. Ia hanya merupakan satu wasilah bagi saya. Mungkin bagi orang lain, belajar agama di masjid surau sudah memadai. Dipersilakan mengikut kemampuan dan keinginan masing-masing.


mimbar Surau APIUM

Perpustakaan APIUM

APIUM

APIUM

APIUM

APIUM

APIUM

Dewan Kuliah Utama APIUM

APIUM

Di dalam Dewan Kuliah Utama APIUM

Pn. Azimah, koordinator untuk program Sijil Syariah/Usuluddin APIUM, semasa menyampaikan taklimat sebelum memulakan sesi modul/semester pembelajaran.

Prof. Madya Dr. Mustafa Abdullah, merupakan Timbalan Pengarah bahagian Ijazan Tinggi APIUM. Beliau memberikan kata-kata aluan untuk pelajar-pelajar baru untuk sesi kali ini memulakan pengajian.

APIUM

APIUM



Untuk semester/modul pertama saya di dalam kursus Sijil Pengajian Syariah ini, ada 4 subjek yang akan diambil:

1.Pengantar kepada Syariat Islam
2.Pengajian Al-Quran
3.Pengajian As-Sunnah
4.Amalan Ijtihad

InsyaALLAH untuk kelas yang pertama, Pengantar kepada Syariat Islam di kendalikan oleh Ustaz Muhammad Safiri Ismail, yang merupakan Fellow SLAI di Jabatan Fiqh dan Usul, APIUM.

Saya berdoa supaya saya mendapat ilmu yang bermanfaat dan beramal dengan ilmu tersebut untuk melawan kezaliman di dalam negara saya yang tercinta ini.

InsyaALLAH.

Ustaz Muhammad Safiri Ismail

Bilik Kuliah saya

Kesimpulannya,

Di dunia moden tanpa sempadan sekarang ini, begitu banyak ruang-ruang yang ada untuk kita menambah ilmu agama kita.

Di Negeri Selangor sebagai contoh;

Sejak tampuk pemerintahan bertukar dari satu kerajaan, kepada kerajaan yang lain, masjid surau bertambah meriah dengan majlis-majlis ilmu yang diadakan saban malam.

Ruang itu ada.

Peluang itu ada.

Jalan itu ada.

Maka, atas diri kita sendiri samada mahu perjalanan hidup kita jadi seperti apa.


Saya memilih untuk mengambil ruang-ruang yang ada, yang sesuai dengan kehidupan saya untuk mendalami ilmu agama, di APIUM ini.

Islam itu bukan eksklusif, bukan juga untuk golongan-golongan tertentu.

Doakan gua bro.

Anda pula bagaimana?

Tuesday, September 27, 2011

zikrul maut

Ingatlah kematiam
Published with Blogger-droid v1.7.4