Monday, February 16, 2015

Murabbi yang ku kejar itu

Innalillahi wainna ilaihi rojiun

12 Februari 2015

Tidak sedikit air mata bercucuran kerana mengenangkan pemergian Murabbi ummah beberapa hari yang lalu. Beliau adalah Al-Marhum Tuan Guru Dato' Bentara Setia Nik Abdul Aziz bin Nik Mat. Ditambah lagi dengan cerita-cerita rakan-rakan FB yang pernah secara lansung atau tidak lansung bersua muka dan bersilaturrahim dengan Tuan Guru sebelum daripada ini. Saya sendiri sangat sayu mengenangkan Tuan Guru yang bukan sahaja seorang murabbi ummah, malahan saya sebagai ahli PAS sangat terkesan dengan beliau sebagai pemimpin kami, Mursyidul Am PAS.

Saya kira ramai yang sudah mengetahui apa keistimewaan Masjid Pulau Melaka dan Bandaraya Kota Bharu pada setiap hari Jumaat. Tidak lengkap rasanya jika orang luar daripada Kelantan yang menziarahi Kelantan pada setiap hari Jumaat tanpa bersolat subuh berjemaah di Masjid Pulau Melaka berimamkan Tuan Guru sendiri, dan menghadiri majlis ilmu di Kota Bharu, yang salah seorang tenaga pengajarnya ialah Tuan Guru.

Masjid Pulau Melaka.
Kredit kepada http://teropongmasa.blogspot.com/2012/12/masjid-pulau-melaka-masjid-tok-guru.html

Pada tahun 2009 saya pernah ke Masjid Pulau Melaka yang bersebelahan dengan rumah Tuan Guru. Pada waktu tersebut saya berpraktikal di salah sebuah syarikat minyak dan gas di Kerteh, Terengganu. Saya dan beberapa rakan saya membuat perancangan untuk pergi ke Kelantan dengan maksud ingin menziarahi Negeri Serambi Mekah, berjumpa Menteri Besar pada waktu tersebut, iaitu Tuan Guru sendiri, dan menghadiri majlis ilmu di tengah-tengah Bandaraya Kota Bharu, Medan Ilmu.

Kami bertolak ke Kelantan daripada rumah sewa kami di Paka, Terengganu lebih kurang waktu tengah malam. Alhamdulillah perjalanan sangat lancar. Kami terus menghala ke Masjid Pulau Melaka dan sampai disana pada kira-kira jam 4 pagi. kami mengambil kesempatan untuk membersihkan diri dan bersiap-siap untuk solat tahajud dan kemudiannya solat subuh.

Sejurus selepas azan berkumandang, saya terus melaksanakan solat sunat subuh dan kemudian setia menanti susuk tubuh yang sebelum ini hanya dilihat di media massa sahaja. Saya menunggu sehingga iqamat dilaungkan, semua jemaah mengambil saf masing dan kerana ramainya jemaah pada waktu itu saya tidak berkesempatan untuk berada di saf depan. Ibaratnya jika di tempat saya itu, ramai seperti solat Jumaat.

Saya masih tidak nampak kelibat Tuan Guru untuk memimpin solat tersebut, tetapi tiba-tiba saya mendengar takbir dilaungkan, dan ianya adalah suara Tuan Guru yang saya kenali melalui mp3 ceramah-ceramah beliau yang saya pernah dengar sebelum ini. Saya terus melaksanakan solat subuh berimamkan Tuan Guru. Alhamdulillah, tercapai hasrat untuk bersolat bersama Tuan Guru.

Usai solat jemaah, Tuan Guru memberi sedikit kuliah, tetapi tidak lama, kerana saya melihat Tuan Guru tidak berapa sihat dan ada seorang jemaah di belakang Tuan Guru yang membantu mengurut-urut belakang Tuan Guru. Selepas itu Tuan Guru pun masuk ke dalam bilik di sebelah kanan mihrab masjid, disusuli dengan ramai jemaah yang membawa bayi kecil untuk ditahnikkan oleh Tuan Guru. Alhamdulillah dapat juga saya melihat sendiri bagaimana Tuan Guru mentahnik bayi.

Saya mendapat tahu Tuan Guru mempunyai urusan lain lagi selepas itu, maka Tuan Guru tidak dapat lama bersama jemaah masjid pagi itu dan perlu segera masuk ke rumah dan bersiap. Walaupun saya dan rakan-rakan sedikit rasa kecewa kerana tidak dapat bertemu secara berdepan dengan Tuan Guru, namun kami memahami bahawa Tuan Guru masih Menteri Besar Kelantan.

Habis menunaikan solat dhuha, saya dan rakan-rakan pergi ke bahagian hadapan rumah Tuan Guru yang hanya beberapa langkah sahaja daripada pintu masuk ruang bilik Imam di bahagian hadapan kanan masjid. Kami mengambil kesempatan mengambil gambar dihadapan rumah Tuan Guru. Malangnya semua gambar yang saya ambil ketika itu sudah tiada dalam simpanan saya.

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar.

Tenanglah dikau wahai murabbi ummah di alam sana.


No comments:

Post a Comment